Isnin, 9 Disember 2024

TEKS CERITA MURID PRASEKOLAH BERTAJUK "SANG KANCIL DAN BUAYA"

Selamat pagi, salam Sejahtera dan salam Malaysia Madani kepada guru-guru, kakak PPM, serta rakan-rakan sekalian.

Hari ini saya ingin menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk “Sang Kancil dan Sang Buaya”

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Cerita rakyat penuh ajar,
Dengarkan kisah penuh teladan.


Pada suatu hari yang cerah, Sang Kancil berjalan-jalan di tepi sungai. Perutnya lapar, dan dia teringin makan buah-buahan di seberang sungai. Tapi, bagaimana mahu menyeberang? Sungai itu dipenuhi buaya-buaya yang lapar!

 

“Hmm, aku mesti guna akal!” kata Si Kancil kepada dirinya. Dia pun memanggil semua buaya. “Hai, Sang Buaya! Mari berkumpul! Aku ada berita gembira untuk kalian.”

 

Seekor buaya yang besar mendekati dan berkata, “Apa berita gembira itu, Sang Kancil?”

 

“Aku diperintahkan Raja Rimba untuk menghitung jumlah buaya di sungai ini. Raja mahu beri hadiah makanan besar kepada kamu semua,” jawab Kancil dengan muka yang serius.

Buaya-buaya yang tamak pun berasa gembira. “Baiklah, Kancil! Bagaimana caranya?” tanya mereka.

 

“Beraturlah dari tepi sungai ini hingga ke seberang sana. Aku akan lompat dari satu buaya ke buaya yang lain sambil menghitung,” kata Kancil.

 

Buaya-buaya pun segera berbaris panjang di sungai. Si Kancil mula melompat sambil menghitung dengan kuat, “Satu, dua, tiga...”

 

Setelah sampai di seberang sungai, Kancil melompat ke tanah dan ketawa. “Terima kasih, Buaya! Aku hanya mahu menyeberang, bukan menghitung kamu!” katanya sambil berlari ke dalam hutan.

Buaya-buaya yang tertipu itu berasa marah, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

 


Rakan-rakan sekalian, begitulah kisah Si Kancil yang bijak menggunakan akal. Seperti kata pepatah Melayu: “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

 

Moral daripada cerita ini ialah kita harus menggunakan akal untuk menyelesaikan masalah. Tetapi, janganlah kita menipu orang lain seperti Si Kancil, kerana kejujuran itu lebih mulia.

Sekian cerita saya, terima kasih.

 

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah saya bercerita lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Aktiviti Mewarna Sempena Pesta Kaamatan 2025: Budaya Kita, Warisan Anak Kita

 Setiap tahun, bila masuk bulan Mei, rakyat Sabah mula sibuk bersiap untuk menyambut Pesta Kaamatan – pesta menuai yang penuh warna, budaya...